Tuesday, December 16, 2008

SEMINAR PENUBUHAN MAJLIS PERMUAFAKATAN

14 – 16 November 2008
Terengganu.

Kementerian Pelajaran Malaysia (Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Disiplin Murid, Kementerian Pelajaran) telah menganjurkan Seminar Penubuhan Majlis Permuafakatan Pendidikan Daerah (MPPD) Peringkat Kebangsaan pada 14 – 16 November 2008 di Dewan Besar, WismaDarul Iman, Kuala Terengganu, Terengganu. Seramai 350 orang peserta menghadiri seminar tersebut. Peserta seminar terdiri dari Pegawai Pelajaran Daerah seluruh negara, YDP PIBG (seorang setiap daerah), pegawai-pegawai dari Bahagian-Bahagian KPM dan Pengarah Pelajaran Negeri. Jumlah ini juga termasuk pegawai-pegawai agensi luar sebagai panel forum.

Allahyarham YB Dato’ Haji Ghazali Ismail, Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia telah merasmikan seminar pada 15 November 2008 dan seterusnya menutup rasmi seminar tersebut pada 16 November 2008. YBhg. Dato’ Haji Alimuddin Mohd. Dom, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia telah membentang kertas Konsep Majlis Permuafakatan Pendidikan Daerah (MPPD)

Para peserta seminar berpendapat bahawa Majlis Permuafakatan Pendidikan Daerah (MPPD) sangat penting dalam usaha Kementerian Pelajaran untuk memantapkan Sistem Pendidikan Negara dan mencapai matlamat Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006 – 2010. Peranan Pegawai Pelajaran Daerah ditingkatkan supaya menjadi tunggak MPPD dalam usaha menangani isu pendidikan dari aspek kokurikulum, akademik, kesihatan dan keselamatan, hal ehwal murid serta kebajikan guru.

Seminar menyedari dan memperaku bahawa untuk membangunkan modal insan dan menangani masalah murid merupakan tanggungjawab bersama Kementerian Pelajaran Malaysia, Jabatan Pelajaran, Pejabat Pelajaran Daerah, PIBG, PDRM, pihak swasta dan pihak yang berkepentingan dalam pendidikan. Para peserta dengan demikian menerima supaya resolusi seminar menyatakan persetujuan berikut:

* Menyambut baik dan menyokong penuh penubuhan dan pelaksanaan fungsi MPPD
* Semua pihak yang terlibat dengan Jawatankuasa MPPD perlu memainkan peranan penting
secara aktif dan proaktif untuk mencapai matlamat dan objektif penubuhan MPPD
* MPPD akan berusaha untuk memperkasakan PIBG supaya dapat memberikan sumbangan dengan lebih berkesan dan bermakna
* Penubuhan dan pelaksanaan MPPD tidak dipolitikkan dan ada pemantauan secara berterusan;
* Menjemput dan menggunakan khidmat bekas murid, tokoh dan pemimpin masyarakat setempat serta ibu bapa yang berkepakaran dan berkemahiran untuk memberikan sumbangan dalam program pendidikan yang dilaksanakan di peringkat sekolah dan daerah;.
* MPPD akan memastikan agar PIBG merangkumi sekolah menengah dan rendah diwakili dan keanggotaan MPPD dibuka kepada pihak lain yang berkepentingan dalam pendidikan termasuk JKKK dan juga pihak swasta ;
* MPPD mengalu-alukan persetujuan PDRM untuk sentiasa bekerjasama dalam melaksanakan pelbagai program untuk menangani gejala sosial dalam kalangan pelajar sebelum terlibat dengan kes-kes jenayah yang lebih berat.