Friday, December 12, 2008

PERSIDANGAN GURU BIMBINGAN DAN KAUNSELING KALI KE TIGA


3 – 5 November 2009
MITC Ayer Keroh Melaka

Seramai hamper 250 orang Guru Bimbingan dan Kaunseling dari seluruh Negara telah menyertai persidangan kali ini. Persidangan tersebut telah mengemukakan resolusinya kepada YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussin, Menteri Pelajaran Malaysia di majlis penutup persdiangan pada 5 November 2008. Antara lain resolusi yang dicapai ialah supaya Kementerian Pelajaran melengkapkan kemudahan komputer di bilik Bimbingan dan Kaunseling sekolah-sekolah. Kemudahan ini akan meningkatkan lagi kecekapan dan keberkesanan bidang ini melaksanakan fungsinya sebagai elemen sokongan penting dalam mendidik dan membangunkan anak-anak di sekolah secara menyeluruh.

Rata-rata peserta persidangan menyatakan bahawa perlunya ada perubahan dan tambahan sokongan bagi menangani isu-isu murid sekolah yang sedang membentuk jati diri mereka. Cabaran yang dihadapi oleh anak-anak pada hari ini adalah berbeza dari tahun-tahun 1980’an dan 1990’an. Justeru pendekatan perlu disesuaikan dan sekolah memerlukan kelengkapan-kelengkapan yang dapat menyokong perkhidmatan bimbingan dan kaunseling supaya lebih meluas dan berkesan.

Persidangan yang telah dianjurkan merumuskan agar perkara-perkara berikut dipertimbangkan oleh pihak kementerian:

a. Melengkapkan kemudahan teknologi maklumat seperti komputer riba dengan talian internet di semua Unit Bimbingan dan Kaunseling sekolah-sekolah di seluruh negara.
b. Mengkaji semula peruntukan Bantuan Perkapita (PCG) unit bimbingan dan kaunseling dengan kadar RM 4.50 seorang kepada RM 20.00 seorang.
c. Memohon mewujudkan Sub Unit Bimbingan dan Kaunseling di Sektor Hal Ehwal Murid Kementerian Pelajaran Malaysia, Unit Bimbingan dan Kaunseling di Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pelajaran Negeri dan Pegawai Bimbingan dan Kaunseling di Pejabat Pelajaran Daerah.
d. Menyediakan peruntukan khas bagi tujuan latihan peningkatan profesionalisme Guru Bimbingan dan Kaunseling di peringkat Daerah, Negeri, Kebangsaan dan Antarabangsa.
e. Menyediakan peruntukan khas bagi menaiktaraf bilik dan kemudahan unit Bimbingan dan Kaunseling demi kesejahteraan murid.
f. Jawatan Kaunselor Gred Terbuka di Bahagian Psikologi dan Kaunseling ( di KPM, JPN dan PPD) ditutup kepada DG kerana Kaunselor DG lebih memahami dan menjiwai keperluan guru yang memerlukan perkhidmatan kaunseling.